HIMPUNAN HALWA PERINGKAT NEGERI SABAH : GENDANG PILIHAN RAYA TERUS BERBUNYI

Menyahut seruan gerak kerja persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-13, Dewan Muslimat PAS Negeri Sabah telah mengadakan Konvensyen HALWA Peringkat Negeri pada 25 – 26 Jun 2011, bertempat di Pasti Taman Ria, Tawau Sabah. Matlamat program ini jelas untuk terus memalu gendang PRU-13 yang semakin rancak berbunyi. Kita sedar bahawa pihak musuh telah menyusun atur sekian banyak strategi dan helah dalam menghadapi PRU akan datang, maka, wajib bagi kita untuk bersedia memperkemaskan langkah menghadapi ‘peperangan’ PRU ini dengan sekurang-kurangnya memberikan saingan yang boleh meruntuhkan keangkuhan Jentera Barisan Nasional yang kononnya menjadikan negeri di bawah bayu ini sebagai kubu kemenangan mereka.
Kertas kerja pertama yang dibentangkan oleh Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Sabah, Ibunda Pn. Zaiton Ahmad yang bertajuk, Ciri-ciri Muslimat zaman Rasulullah S.A.W dan masa kini, membentang dan membanding beza, sejauhmana penggerak jemaah kita hari ini, mengambil iktibar dan tauladan daripada sekian banyak role model yang telah dipamerkan srikandi-srikandi pejuang zaman baginda. Bermula dengan nama-nama masyur Ummul Mukiminin, Saidatina Khadijah, Saidatina Aishah, Asma’ Abu Bakar, Summayyah, Rabiatul Adawiah dan sekian banyak lagi nama-nama yang telah mempamerkan prinsip perjuangan yang teguh tanpa goyah walaupun bertali arus penindasan dan kekejaman yang mereka hadapi. “Lalu kita hari ini, adakah goyah prinsip perjuangan kita hanya dengan ugutan-ugutan yang dicanang media, akta-akta ancaman yang di war-warkan pihak kerajaan, lalu batal niat turun himpunan bersih?. Niat sokong dari jauh saja lah? ” Tidak sekali-kali. Malah Pn. Zaiton mewar-warkan di peringkat Negeri Sabah khususnya di Tawau ini, juga telah merancang satu gelombang kuning pada hari dan masa yang sama gelombang Bersih 2.0 berlangsung di Kuala Lumpur.  
 Kertas kerja 2 dibentangkan peranan HALWA dalam jentera pilihan raya. Pendedahan dan perkongsian pengalaman gerakan HALWA sebelum ini, daripada  Pn. Norain  Abd Kadir yang merupakan Ketua Jentera HALWA peringkat negeri. Slot tersebut diteruskan dengan bengkel SWOT setiap kawasan PARLIMEN dan DUN yang dijangka bertanding. Pembentangan yang menyusul telah memberikan satu kesimpulan yang kukuh bahawa jentera HALWA di semua peringkat perlukan pacuan yang lebih laju untuk memastikan peranan HALWA ini memberikan sumbangan yang besar menuju PRU 13. Perancangan strategik yang lebih praktikal perlu disusun untuk memobilasi sepenuhnya tenaga Muslimat yang ada.


Suka atau tidak, mahu tidak mahu, PRU 13 sudah semakin hampir. Kesedaran semua jentera parti perlu lebih serius dan momentum gerak kerja yang lebih kuat perlu dipersembahkan. Berdasarkan sejarah pilihan raya Negeri Sabah,  penduduk di Bawah Bayu ini bukanlah mereka yang tidak berani menukar parti yang menerajui pemerintahan negeri. Namun, harga yang perlu dibayar untuk mendapatkan kepercayaaan rakyat itu tentulah bukan murah. Keyakinan hanya boleh diperolehi dengan mempersembahkan satu gerak kerja yang tersusun, imej yang bersih, dan kesepaduan yang kukuh dalam kalangan penggerak parti dan juga sesama rakan-rakan kita dalam Pakatan Rakyat. Allah menjanjikan kejayaan berdasarkan usaha yang dipersembahkan, lantas, tugas kita curahkan sepenuh keringat untuk medan ini, kemenangan itu milik ALLAH, ia pasti untuk para pejuang, hanya masa yang menjadi soalnya, sekarang, akan datang atau di ‘sana’ nanti. Gendang pilihan raya terus berbunyi, menunggu sahutan kita semua.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Edited Design by AnakBulan From CSSHeaven.org 2011